​”Zero” Bahasa Arab? Sedikit panduan untuk bermula

Belajar ni macam yang kita semua tahu, ada peringkat dan tahapnya.. bukan ilmu Nahu je. Semua jenis ilmu.

Pengalaman saya, kalau kita melangkau tahap dan tak ikut “landasan” silibus yang betul, kesannya memang susah kita nak kuasai apa-apa ilmu. 

Sebabnya :

  • kita kehilangan sebahagian istilah dan kaedah penting yang menyokong perbahasan yang lebih mendalam.

Contohnya : Kita belajar tentang buat ayat jumlah Ismiyyah, dalam keadaan kita tak pernah kenal apa makna dan ciri-ciri Ism.

  • kita tidak ada gambaran yang betul tentang kandungan ilmu tu. 

Contohnya kita terus belajar bab Mubtada dan Khabar tanpa kita belajar bab yang lebih asas iaitu bab kalimah dan asas Jumlah.

  • kita lebih mudah keliru dan terlupa.

Apabila kita belajar “melompat” tahap, kesannya pada minda kita. Ia berpotensi untuk gagal mendapat gambaran sebenar tentang cabang-cabang perbahasan yang ada. Akibatnya ia akan mudah keliru dan terlupa.

Oleh itu, untuk semua beginner yang baru bermula dengan Bahasa Arab, saya sangat mencadangkan agar anda follow kelas/pengajian anda secara berperingkat dan jangan ponteng kalau tidak anda akan “melompat-lompat bab”.

Jika anda minta cadangan daripada saya, cara nak mula bagaimana, ini yang saya cadangkan :

  1. Belajar mengenal ciri-ciri kalimah yang 3 iaitu Ism,Fi’l, dan Harf. Dalami tanda-tanda yang asas bagi ketiga jenis kalimah ni. 
  2. Hafal banyak kalimah baru. Setiap hari. Sekurang-kurangnya 3-10 kalimah baru. Kalau tak tahu nak hafal apa, saya cadangkan hafal Huruf Jar dulu. 
  3. Fahamkan 2 jenis Ism yang bawah kategori “jantina” iaitu Muzakkar dan Muannas. Dalami tanda-tanda muannas. Dan hafal 2-3 contoh yang mudah-mudah. Yang sesuai dengan selera anda.
  4. Seterusnya, belajar tentang 3 jenis Ism yang di bawah kategori “bilangan” iaitu Mufrad, Musanna dan Jama’. Setiap daripada 3 ni ada tanda masing-masing. Buat jadual bandingan. Hafal contoh yang mudah ingat. 
  5. Kemudian belajar tentang huruf Jar (kata sendi@kata hubung). Huruf Jar salah satu tajuk yang paling saya suka. Sebab ia mudah dan penting. Ada 8 huruf Jar yang famous. من / إلى / عن / على / في / ب / ك / ل
  6. Seterusnya dalami sikit lagi tentang Dhomir Munfasil (Kata Ganti Diri). Dhomir Munfasil tu ada 3 bahagian besar. Di dalamnya ada 14 kalimah khusus yang menunjukkan tentang kata ganti diri. Dhomir sesuai belajar berpandukan jadual. Fahamkan pembahagian dan maknanya masing².
  7. Selepas tu, lanjut sikit lagi kepada Dhomir Muttasil. Dhomir Muttasil mesti dipelajari selepas Dhomir Munfasil. Jangan tertukar, nanti berserabut. Buat jadual perbandingan. Hafal makna. Kemudian hafal contoh. 
  8. Dah belajar Dhomir, baru sesuai mendalami Fi’l. Sebab Fi’l ni ada kaitan besar dengan Dhomir. Fi’l ni perbuatan. Jika belajar Fi’l, perkara paling sesuai untuk kita bermula belajar tentangnya adalah belajar 3 kategori waktu Fi’l berlaku. Ada 3 → Madhi, Mudhari, Amr. Kita fahamkan maknanya betul-betul dan kuasai tanda-tandanya. 
  9. Selepas kita belajar waktu Fi’l, baru kita belajar tentang tasrif Fi’l. Tasrif Fi’l penting. Sangat penting. Terlalu penting. Selalunya tasrif Fi’l akan dipelajari dengan panduan jadual. Sebab lebih mudah begitu. Jadi kita kena teliti setiap kotak tasrif tersebut.
  10. Selepas lalui 9 tajuk asas di atas, jangan suka sangat lagi, sebab kita masih lagi beginner. Cuma kita dah ada sikit pengenalan penting tentang bahasa Arab. 

Pengalaman saya, 9 tajuk di atas adalah asas penting untuk belajar tajuk asas yang lain. So, selagi 9 tajuk di atas belum kita lalui, kita slow² dulu. Fokus dulu tajuk tersebut. 

Oh, jangan salah sangka ya. 9 tajuk di atas tersebut atas cadangan saya sahaja. Untuk anda jika anda tiada panduan. Bukan mandatori. Sebab ia berdasarkan pengalaman cetek saya. 

Jika anda belajar dengan guru yang lain, lain pula caranya. Jadi jangan terikat sangat dengan cadangan saya. Barangkali ada cara yang lebih sesuai dengan anda. 

Apa yang penting, kita enjoy dan terus belajar. InsyaAllah niat dan semangat kita akan membuahkan hasil.

p/s : Jika anda ada cara belajar tersendiri, boleh tak kongsi dengan saya? Sebab saya berminat untuk belajar dan tambah pengetahuan. 

Leave a comment